Sunday, February 13, 2011

Biarlah Orang Luar Bercerita Mengenai Sudir

Biarlah Orang Luar Bercerita Mengenai Sudir

Rodziah bersama Fauziah Abd Samad salah seorang teman rapat Sudirman


Dokumentari Penghibur Terbaik Asia temui peminat di saluran History, 20 Februari 2011

NAMANYA memang tidak asing di kalangan peminat dan penggiat seni hiburan tanah air. Sememangnya bakat milik penghibur Datuk Sudirman Arshad dikagumi ramai. Maka tidak hairanlah biarpun artis serba boleh kelahiran Temerloh, Pahang, itu sudah 18 tahun meninggalkan kita, namanya tetap harum meniti di bibir.

Bak sebutir bintang yang cukup hebat menerangi dunia hiburan, pemergiannya nyata sukar diganti. Walaupun saban hari ada saja artis baru muncul di persada seni, ingatan peminat terhadap penyanyi yang juga pelakon, peguam dan ahli perniagaan terkenal itu tetap utuh bersemi.

Lalu, cukup difahami apabila beliau menjadi pilihan AETN All Asia Networks dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk ditampilkan dalam dokumentari biografi khas, yang bakal disiarkan menerusi saluran History (Astro 555) pada jam 10 malam, 20 Februari ini.
Penghasilan dokumentari terbabit tentu sekali dilihat antara penghargaan terbaik buat Penghibur Terbaik Asia itu, bagi mengenang semula pembabitan dan jasanya dalam dunia seni hiburan negara.

Dokumentari biografi yang ditayangkan selama satu jam ini bakal memaparkan kehidupan Sudirman daripada kecil hingga ke saat beliau menghembuskan nafas terakhir, pada 22 Februari 1992.

Memetik kata seniman Tan Sri P Ramlee yang terlebih dulu pulang ke rahmatullah, ‘tiada kata seindah bahasa, dan tiada gambar secantik lukisan’, begitulah perumpamaan yang setimpal diberikan kepada Sudirman, seperti yang disifatkan kakaknya sendiri, Datin Rodziah Arshad.

Rodziah yang hadir sama ke majlis tayangan dokumentari terbabit di ibu kota baru-baru ini berkata, dia amat menghargai usaha murni pihak penerbitan itu, biarpun dirinya sendiri tidak terbabit dalam pembikinannya.

“Pihak penerbitan memang ada meminta kerjasama daripada saya, untuk mengadakan temubual bagi menjayakan dokumentari ini, tetapi saya memilih untuk tidak mahu terbabit. Bagi saya, biarlah orang luar yang menceritakan mengenai Sudirman dan bukan ahli keluarganya sendiri.

“Saya tidak mahu dilihat seperti pepatah ‘masuk bakul, angkat sendiri’. Saya rasa, orang luar lebih berhak menilai Sudirman kerana arwah sendiri dikenali ramai dan tidak menjadi masalah bagi pihak penerbitan untuk mendapatkan sumber.

“Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada pihak penerbitan kerana sudi menghasilkan, seterusnya menyiarkan dokumentari ini. Saya sendiri berasa sedih apabila menontonnya, malah cucu saya yang berumur enam tahun turut menangis. Saya dapat menghayati kisah yang dilalui olehnya dan sampai saat ini, tidak sekali pun saya lupa dia ialah adik saya," kata Rodziah sambil mendedahkan, penghibur yang turut dikenali sebagai seniman rakyat itu gemar memakan sambal tumis.

Katanya, Sudirman seorang yang bersungguh-sungguh dalam kerjayanya dan beliau cukup menghargai dunia seni.

Dokumentari itu sendiri menurutnya, menampilkan pendekatan lebih istimewa apabila ia memaparkan biografi Sudirman dengan lebih mendalam.

“Bukan setakat kejayaannya saja yang menjadi kayu pengukur, tapi usaha kerasnya membuatkan dia berjaya dalam dunia yang diceburi. Dan, sekiranya suatu hari tergerak hati, saya sendiri akan turut menulis mengenai adik saya ini,” ujar Rodziah.

INFO: Dokumentari Sudirman

ANTARA penggiat seni dan rakan baik Sudirman yang ditemubual dalam dokumentari berkenaan ialah penulis lirik, Habsah Hassan; komposer, Fauzi Marzuki; wartawan veteran, Bahyah Mahmood; bekas pengurusnya, Daniel Dharanee Kannan; Beh Suet Pheng dan ramai lagi.

DIAKUI, Sudirman seorang yang disenangi ramai dan insan berbakat besar. Beliau bukan saja seorang penghibur, malah seorang peguam, pengacara televisyen, penulis, kartunis, pelakon dan ahli perniagaan disegani.

NAMUN, nama Sudirman Arshad lebih malar segar di pentas nyanyian. Sudirman ialah artis pertama dari Asia yang merekodkan lagu Inggeris di Studio Abbey Road, United Kingdom.

SUDIRMAN mempunyai kira-kira 20 album (tidak termasuk album kompilasi) sepanjang 16 tahun bergiat di dalam bidang seni.

BUKAN saja di Malaysia, Sudirman juga terkenal di Singapura, Brunei dan Indonesia. Walaupun beliau banyak menyanyikan lagu berbahasa Melayu, hakikat itu tidak menghalang untuk beliau mengadakan persembahan di luar negara seperti di Hawaii, Melbourne, Tokyo, Dubai, London dan Russia.

PADA 1989, Sudirman diumumkan Penghibur Terbaik Asia pada Asian Popular Music Awards yang berlangsung di Royal Albert Hall, London. Pada pertandingan itu, Sudirman mengalahkan penghibur hebat Asia lain seperti Leslie Cheung, Anita Sarawak dan Kuh Ledesma.

ARTIS berbakat besar ini turut diminati peminat pelbagai bangsa, di mana beliau turut menyanyikan lagu dalam bahasa Inggeris, Tamil dan Cina.

DI sebalik kejayaannya, ada kisah sedih yang membelenggu dunia peribadi juara Bintang RTM 1976 ini. Ibu Sudirman meninggal dunia pada usia muda dan rumah tangganya tidak berkekalan. Satu demi satu kontroversi yang melanda dihadapinya dengan tabah dan sehingga kini punca kematian Sudirman masih menjadi tanda tanya.

UNTUK mengetahui lebih mendalam legenda seni sepanjang zaman ini, saksikan dokumentari Sudirman di saluran History pada 20, 22 dan 23 Februari, serta 1, 11 dan 13 Mac ini. Dokumentari ini juga disertakan sari kata Bahasa Malaysia dan Cina.

Perjalanan Hidup Sudirman Didokumentarikan


Tanggal 22 Februari 1992, negara kita telah kehilangan sebutir bintang yang cukup begemerlapan dalam dunia seni tanah air. Pemergian Allahyarham Sudirman Haji Arshad dalam usia 37 tahun ternyata meninggalkan kesan yang mendalam kepada seluruh masyarakat Malaysia yang rata-rata mengagumi bakat penghibur terbaik Asia ini.

Walaupun hampir 19 tahun Allahyarham pergi meninggalkan kita, namun nama dan lagu beliau tetap kekal dan segar dalam hati kita. Antara lagu popular dendangan Allahyarham ialah Chow Kit Road! Chow Kit Road, 31 Ogos, Pelangi Petang, Balik Kampung, Terasing, Salam Terakhir, Merisik Khabar, One Thousand Million Smiles, Hoore! Hoore!, Hujan dan banyak lagi.

Selain bergelar penyanyi, Allahyarham juga merupakan seorang penggubah lagu, peguam, penulis, pengarang, pelukis kartun, usahawan dan juga pelakon. Sepanjang 16 tahun berkecimpung dalam karier seni, Allahyarham telah menghasilkan sebanyak 20 buah album.

Selain itu, Allahyarham turut meraih banyak pencapaian antaranya Penghibur Terbaik RTM 1977, Penghibur TV Terbaik di Anugerah Sri Angkasa 1978 dan 1985, Duta Nyanyian Pelancongan Malaysia 1985, Penghibur Terbaik Asia dalam Anugerah Muzik Asia 1989 di Royal Albert Hall, Londan, dan Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular 1989.

Sebagai mengenang jasa dan bakat pelakon filem KAMI ini, syarikat AETN All Asia Networks yang memiliki siaran televisyen History di Malaysia, sekali lagi berkolaborasi dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia FINAS, menghasilkan dokumentari biografi bakat lagenda ini.

 “FINAS berasa bangga kerana dapat terlibat sekali lagi dalam produksi ini. Sudirman merupakan seorang artis profesional yang memberi perubahan dalam industri hiburan Malaysia dengan fesyen dan karisma persembahan pentasnya,”kata Ketua Pengarah FINAS, Mohd. Mahyidin Mustakim ketika ditemui pada majlis tayangan media dokumentari Sudirman Arshad di Smoke & Fire, The Gardens petang semalam.

“Ia merupakan satu kesinambungan penerbitan dokumentari antara FINAS dan AETN selepas dokumentari mengenai Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee mendapat maklum balas yang baik pada tahun lepas.”

“Ini sekaligus dapat memberi gambaran di mata dunia bahawa orang Malaysia dapat menghasilkan dokumentari yang bertaraf antarabangsa selain dapat menyemarakkan lagi dokumentari di kalangan masyarakat terutamanya generasi muda.”

Menurut Gerard Benedict, Pengarah Urusan Code Computer Design Sdn Bhd yang bertanggungjawab menghasilkan dokumentari ini, produksinya mengambil masa kira-kira lima bulan untuk menyiapkan dokumentari berjudul ‘Sudirman Arshad’ ini.

“Kami bermula sejak Ogos tahun lepas untk menghasilkan dokumentari ini. Perkara pertama yang kami lakukan adalah menghubungi keluarga serta individu yang terlibat dengan karier beliau. Kami menghubungi kakaknya, Datin Rudiah Arshad sebanyak dua kali. Agak sukar juga kerana pada mulanya dia bersetuju, kemudian tidak bersetuju, namun, akhirnya beliau benarkan juga,”kata Gerard yang turut bertindak sebagai Penerbit di samping dua Penerbit Bersama iaitu Hafi Pudin Abd Malek dan Harjit Kaur.

“Selain itu, cabaran yang kami perlu lalui ialah untuk mencari bahan seperti gambar dan video persembahan beliau. Kebanyakan bahan-bahan ini kami dapat dari RTM, TV3, Utusan dan NST.”

“Walaupun saya tidak pernah bertemu dengan beliau, bagi saya, Sudirman merupakan seorang yang begitu fokus sekali dalam mencapai matlamatnya. Itu yang membuatkan beliau menjadi yang terbaik.

 “Kami harap anda semua tidak melepaskan peluang menonton dokumentari ini kerana dari situ, anda dapat tahu tentang kehidupan beliau dari kecil sehinggalah bergelar penghibur.”

Antara individu yang terlibat memberi kerjasama dalam pembikinan dokumentari ini ialah kakaknya, Datin Rudiah Arshad, pengurus kerjaya Sudirman dari 1988 hingga 1991, Daniel Dharanee Kannan, Penganjur Anugerah Muzik Asia 1989 di Albert Hall London, Simon Napier-Bell, Pengarah Muzik, Jenny Chin, Penerbit RTM, Jack Nadarajah, penulis lirik Habsah Hassan, Fauzi Marzuki, Michael Veerapan dan ramai lagi.

Dokumentari biografi, ‘Sudirman Arshad’ akan ditayangkan di History (Astro Channel 555), pada 20 Februari 2011, jam 10.00 malam. Dokumentari ini turut menyediakan sarikata dalam Bahasa Melayu dan Cina. Bagi yang ketinggalan menonton pada 20 Februari, anda juga dapat menontonnya pada 22 Feb (11.00pm), 23 Feb (9.00pm), 1 Mac (7.00pm), 11 Mac (11.00pm) dan 13 Mac (7.00pm).

4 Finalis (ABPBH) 2010 Ziarah Pusara Sudirman

ANA, Aizat, Elfira dan Sharnaaz di pusara Sudirman di Temerloh, semalam.
Ana, Aizat, Elfira dan Sharnaaz di pusara Sudirman di Temerloh, semalam.
 
TEMERLOH: Emosi empat finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010, Aizat, Ana Raffali, Elfira Loy dan Sharnaaz Basir Ahmad tersentuh saat menziarah pusara Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, di Tanah Perkuburan Islam Chengal, di sini, petang kelmarin.

Mereka mengambil peluang membersihkan pusara bintang yang dikenali dengan jolokan penyanyi peguam itu. Pusara yang pada mulanya kelihatan terbiar sekian lama mula menampakkan seri. 
 
Namun, perasaan sedih dan syahdu yang menyelubungi empat finalis terbabit tidak mampu dibendung lalu mendorong Aizat untuk terus membacakan doa dan diaminkan yang lain. 
 
Calon kategori Penyanyi Lelaki Popular itu menganggap lawatan sehari cukup bermakna kepada dirinya, malah rasa cukup bertuah dapat meluangkan masa menyertai lawatan ini yang diatur Jawatankuasa Pengelola Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010).

“Sekalipun saya tidak pernah bertemu Allahyarham, sumbangannya terhadap industri tanah air meninggalkan impak tersendiri” katanya.

Terdahulu pada sebelah pagi, mereka dibawa ke Galeri Tokoh di Jalan Ahmad Shah. Galeri terbabit dirasmikan pada 18 Julai 2009 atas inisiatif Majlis Perbandaran Temerloh. Tanggal 22 Februari ini genap 19 tahun pemergian bintang tersohor yang pernah dinobatkan sebagai Penghibur Terbaik di Anugerah Muzik Asia.

Saturday, February 12, 2011

Pandangan Saodah Ismail Berkenaan Artis Kini

Oda dan Sudir di Majlis Pelancaran Album Twinkle2 Little Star
OLEH SAODAH ISMAIL
"SESUATU yang saya sudah muak dengar adalah, “saya nak jadi penyanyi kerana nak bantu ibubapa saya di kampung. Jadi, tolonglah undi saya.”

Saya dapati ini sudah menjadi satu trend apabila masuk bertanding, mesti bagi tahu yang mereka nak jadi penyanyi atau pelawak kerana nak bantu keluarga. Bagus dari satu segi, tetapi ia memberikan kesan yang kurang baik dalam industri bahawa orang masuk industri ini kerana nak buat duit.

Ini semuanya bermula apabila Mawi menang dalam AF. Apabila menang, dapat rumah, kereta dan segala mak nenek kemewahan yang buat orang lain jadi jaki dan pasang angan-angan nak jadi kaya cepat – dengan menjadi artis. Kalau tak percaya, tanyalah peserta-peserta yang masuk segala macam show realiti yang ada kat TV sekarang ini – mereka semua mahu menang, mahu dapat tempat dalam dunia hiburan kerana mahu hidup atas duit.

Sebab itu, hari ini, seniman tulen macam P. Ramlee dan Sudirman sukar nak dicari. Ataupun memang tidak ada. Kerana, mereka adalah seniman tulen, yang bekerja dengan tidak kira soal nak buat duit. Mereka kerja dalam seni kerana cinta dan kasih sayang pada seni itu mengatasi segala-galanya. Sepatah kata orang putih , mereka cukup ‘passionate” dengan dunia seni hingga langsung tak kira soal masa, soal penat lelah dan sering kali tidak kisah sama ada untung atau rugi, dibayar atau tidak.

Sebab itu apabila kita tonton dokumentari P, Ramlee yang dibuat oleh Datuk Shuhaimi Baba (yang disiarkan di History Channel) tahun lalu, ramai yang menitiskan airmata. Itulah seniman tulen, mereka dahulukan seni melebihi segala-galanya. Kalau adapun harta, ia terkumpul dalam bentuk royalti, yang hanya dinikmati oleh kaum keluarga, bukan seniman itu kerana mereka sudah tiada ketika harta itu terkumpul.

Begitu juga dengan dokumentari Sudirman Haji Arshad yang akan disiarkan oleh History Channel pada 20 Februari ini jam 10 malam. Sepertimana dokumentari P. Ramlee yang memaparkan realiti hidup seorang seniman, begitu jugalah dengan dokumentari Sudirman. Ia menyingkap kisah benar ‘the singing lawyer’ itu yang telah mengabadikan seluruh hayatnya untuk seni.

Sebab itu, hari ini, apabila orang bercakap tentang seniman tulen, kita cepat terbayangkan seniman-seniman silam seperti P. Ramlee dan Sudirman. Macamlah tidak ada orang lain. Tapi itulah hakikatnya. Susah nak membayangkan artis lain sebagai seniman tulen kerana yang ada hari ini langsung tak ada kesenimanannya.

Yang ada hari ini hanyalah artis yang kerja sedikit, tapi mahu untung lebih. Yang jadi duta itu dan duta ini, dapat tajaan ribu-ribu apabila kahwin atau pindah rumah baru, sehingga mereka jadi malas nak guna otak untuk berfikir secara kreatif – tidak seperti P Ramlee dan Sudirman yang menggunakan segala kudrat yang ada untuk mencantikan kerja seni mereka.

Hari ini setiap orang ingat bagaimana cara kerja Sudirman. Untuk pastikan show , dia sendiri yang lakar skrip, lakonlayar, pakaian dan corak persembahan dan juga pentas. Seringkali, dia sendiri keluar belanja kerana bajet yang tidak cukup. Yang pasti, setiap kali dia keluar, baik TV atau album, dia mahu ia adalah yang terbaik daripada terdahulu, terhebat daripada yang sebelumnya. Tidak pernah ada kompromi dalam soal mutu.

Anda boleh fikirkan, siapa artis hari ini yang bekerja seperti itu?"

Konsert Hore-Hore Aznil


BUKAN sedikit anganan Aznil Nawawi tetapi satu demi satu menjadi kenyataan, termasuk mengadakan konsert solo. Bermimpi lagi, kalau boleh konsert itu setara konsert idolanya, Allahyarham Sudirman Arshad walaupun dia sedar penghibur itu sukar dicari ganti.

Atas kepercayaan oleh RYE Production Sdn Bhd dan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), impian itu bukan lagi angan-angan.

Konsert Hore-Hore Bersama Aznil Nawawi bakal diadakan di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 12 Mac depan yang dijangka penuh gimik sebagai penyeri acara selain lagu yang pernah didendangkan Aznil serta lagu Sudirman menjadi pilihan.

 Teruja dan seperti tidak percaya, Aznil ketika ditemui penuh ceria menyatakan sudah menyenarai pendek 30 lagu untuk dipersembahkan pada konsert dua jam itu nanti.

“Seperti biasa, inilah identiti saya setiap kali beraksi di pentas, gimik perlu untuk menghiburkan penonton dan apakah gimik itu, sama-sama nantikan konsert saya. Selama ini saya hanya mengacarakan konsert orang dan inilah kali pertama dalam hidup saya beraksi di konsert sendiri.

“Sebagai memperingati idola saya, Sudirman, beberapa segmen mengenainya turut diselitkan. Pemilihan 30 lagu berkenaan berdasarkan lagu kesukaan saya dan jika masa tidak mengizinkan, mungkin tidak semua dinyanyikan kerana banyak lagi sketsa dipersembahkan,” katanya.

Memilih Taman Tasik Titiwangsa sebagai lokasi, Aznil menganggap ia kawasan yang mudah dikunjungi oleh keluarga, malah di situ juga Aznil pernah bersekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Lelaki Seri Titiwangsa yang dulu dikenali sebagai Sekolah Menengah Lelaki Jalan Temerloh.

“Walaupun hanya konsert berlatarkan sebuah taman, saya juga harus mempersiapkan diri supaya tidak mengalami masalah kelak.

“Maklumlah, tempat terbuka seperti itu banyak perkara tidak diingini boleh berlaku dan persediaan fizikal juga harus ada supaya peminat berpuas hati menyaksikan persembahan saya.

“Melalui konsert ini, peminat akan didedahkan dengan warna sebenar siapakah Aznil Nawawi yang selama ini peminat hanya mengenali saya melalui kaca televisyen serta persembahan pentas dari jauh.

“Pastinya konsert pertama kali daripada saya ini akan meninggalkan banyak kenangan kepada peminat, terutama yang mengharapkan konsert solo saya,” katanya.

Hafsham Cari Pelakon Iras Sudirman

 Hafsham bersama Gerard Benedict Penerbit Biografi Sudirman Arshad
 
KUALA LUMPUR: Pengarah filem veteran Othman Hafsham, 71, sedang mencari seorang pelakon lelaki yang mempunyai ciri-ciri seiras penghibur versatil Sudirman Haji Arshad bagi projek teater muzikalnya tidak lama lagi. 


Ujar Hafsham cabaran yang sedang dihadapinya adalah untuk mencari pelakon lelaki yang paling sesuai membawakan watak Sudirman dalam persembahan yang akan diadakan di Istana Budaya itu.

“Saya merancang untuk mementaskan sebuah muzikal tentang kisah hidup Sudirman tidak lama lagi tetapi masalahnya saya masih lagi mencari pelakon lelaki yang paling sesuai untuk watak penyanyi itu.

“Ada beberapa nama pelakon yang iras-iras Sudirman bermain di fikiran tetapi ciri-ciri fizikal mereka pula tidak bertepatan dengan apa yang saya cari,” katanya yang ditemui pada majlis pra-tonton dokumentari biografi Sudirman Arshad di Smoke & Fire Club, The Gardens, di sini, Khamis.

Mengulas ringkas mengenai muzikal tersebut, Hafsham berkata, ia masih berada pada peringkat awal dan terlalu banyak perkara yang perlu diuruskan sebelum pengumuman rasmi tentangnya dihebahkan.

“Semuanya masih terlalu awal. Skrip pun belum siap lagi cuma apa yang akan saya paparkan adalah tentang kronologi hidup Sudirman dari awal hingga bergelar seorang penghibur yang berjaya,” katanya yang bakal muncul dengan filem Karipap-Karipap Cinta, tahun ini.




No comments:

Post a Comment